Wednesday, June 17, 2009

Kontinjen Terengganu Buat Persiapan Awal Hadapi Sukma 2010

KUALA TERENGGANU, 16 Jun (Bernama) -- Bagi memantapkan persiapan Terengganu menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) 2010 di Melaka, 383 atlet, jurulatih dan pegawai negeri akan menyertai kem Sukma fasa pertama di Tati University College (Tatiuc) di Kemaman, 17 Jun ini.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Rosdi Awang berkata peserta yang mengikuti kem selama tiga hari itu terdiri daripada kalangan mereka yang terbabit dalam 21 jenis sukan yang akan dipertandingkan.

Beliau berkata mereka terdiri daripada atlet serta pegawai dari acara sukan seperti angkat berat, badminton, berbasikal, bola jaring, ekuestrian, gimnastik, hoki, karate-do, boling padang, memanah, menembak, olahraga, pencak silat, perayu layar, petanque, ping pong, sepak takraw, skuasy, tinju dan wushu.

"Empat lagi sukan yang tidak terlibat dengan kem itu ialah bola sepak, tenpin boling, silamban dan bola keranjang kerana mereka belum menamakan atlet masing-masing," katanya di sini Selasa.

Rosdi berkata antara modul program pada kem itu ialah "ice breaking", "team building", "misi kita world class athletes", pemantapan rohani, atlet masuk kampung dan pengurusan kecederaan sukan.

Bagi program atlet masuk kampung, katanya para peserta akan menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan ia sekaligus dapat mendedahkan mereka dengan masyarakat setempat.

Lima buah kampung dalam kawasan DUN Kemaman iaitu Kampung Ibok, Kampung Yah Yah, Kampung Padang Kemunting, Kampung Batu Enam dan Kampung Pondok Pasir dipilih sebagai kampung angkat untuk program ini, katanya.
Berita Timur
June 16, 2009 19:24 PM
-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment